TINDAKAN SEMASA JEREBU

Mamayu nak share pesanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan dengan masalah Jerebu yang melanda negara hari ini.. 
Apakah jerebu?
Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-terapung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ia boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Punca-Punca
Punca utama jerebu adalah akibat daripada:
1. Pembakaran secara terbuka
2. Asap dari kilang
3. Asap dari kenderaan
HINDARI DARIPADA PERBUATAN YANG BOLEH MENYEBABKAN JEREBU.
Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperoleh daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut:-
Nilai IPU Status:
0-50 Baik
51-100 Sederhana
101-200 Tidak sihat
201-300 Sangat tidak sihat
301-500 Berbahaya

JEREBU MENGANCAM KESIHATAN ANDA
Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :-
1. Kanak-Kanak
2. Orang tua
3. Mereka yang mengalami penyakit asma
4. Bronkitis
5. Radang paru-paru
6. Penyakit paru-paru yang kronik
7. Alahan
8. Jantung
9. Perokok
10. Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

Apakah Tanda dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan
Kesan-Kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah :

1. Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk
2. Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
3. Mata terasa pedih dan berair
4. Hidung berair dan kerap bersin
5. Kulit badan terasa gatal-gatal
6. Terasa sakit dada
Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala berikut.
CEGAHLAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU. IKUTLAH NASIHAT BERIKUT:-
1. Mereka yang mengalami penyakit –penyakit seperti berikut batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
2. Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
3. Penutup hidung dan mulut (mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenal pasti sebagai kumpulan yang berisiko tinggi.
4. Sejauh yang boleh orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
5. Kurangkan aktiviti –aktiviti di luar rumah seperti sukan.
6. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
7. Gunakan kemudahan hawa dingin sekiranya menaiki kenderaan anda.
8. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari)
9. Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya, mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia



Comments

Popular Posts