Diari Hamil : Kisah Benar Pengalaman Seorang Suami
Kisah Benar.
Luahan Pengalaman Seorang Suami Apabila menatap
gambar-gambar ibu bersalin, menerawang fikiran aku teringatkan kembali
detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertamaku ke dunia.
Ketika diberitahu isteriku dimasukkan ke dalam
hospital pada jam 1 pagi aku masih dibuai mimpi di rumah sewa
berhampiran universiti.
Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari
sebelumnya. Sebelum tidur, aku sempat berbalas-balas SMS dengan isteriku
bertanyakan keadaannya ketika itu.
Katanya, dia tidak makan sejak
petang lagi. Aku menyuruh dia mengambil air susu sebelum tidur. Isteriku
dimasukkan ke wad kerana air ketuban telah pecah. Katanya bukaan hanya
2cm ketika itu.
Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana masih belum
rasa sakit bersalin. Pada keesokan harinya barulah aku bertolak ke
hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai.
Menatap wajahnya
yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak
menyentuh makanan sejak dari petang semalam.
Aku menyuruhnya makan
sedikit, tetapi dia menolak kerana doktor telah menyuruh isteriku
berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku
menghulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya.
Tabahnyaa dirimu..
Apabila jam menunjukkan pukul 10.00 pagi dengan bukaan seluas 4cm, dia
ditolak masuk ke dalam labour room.
Entah kenapa dengan bukaan seluas
itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin. Aku pun confuse. Setahu
aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm.
Dan aku
dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku
ditempatkan di bilik D. Dia memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu
akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah untuk bersalin.
Aku mula
gelisah. Tak tentu arah. Mungkin itu adalah mitos yang direka oleh achi
India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana.
Pujuk
aku sendirian. Berbekalkan Quran burukku yang aku bawa bersama
barang-barang isteri dan baby yang bakal dilahirkan, aku selak helaian
440.
Ya.. Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin.
Semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu
isteriku bersalin secara normal.
Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli
surah karamah itu. Satu persatu perkataan dan ayatnya ku alunkan
perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti berdoa agar diselamatkan
isteri dan anakku.
Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor, aku
tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi memerhatikan gerak langkahku
menegurku ‘’Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik
boleh jumpa isteri adik,’’pelawanya ramah.
Mungkin dia sedar aku dah
semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room. Alhamdulillah.
Kalau boleh jumpa tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya membalas
sms je.
Keadaan sebenar isteri aku tidak aku ketahui. Dari jam 10
sampailah jam 4 petang isteriku ditahan. Bukaannya sekarang hanyalah
6cm. Setelah diinduce kali ke dua, bukaan rahimnya masih belum
membenarkan bayi untuk keluar.
Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya
doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di dalam
kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak
panik, akhirnya tewas kepada diri sendiri.
Air mata yang cuba ku sekat
agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah
mataku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan
isteriku.. Setiap kali itulah air mataku kan bercucuran jatuh ke
tangannya.
Mana taknya.. dengan keadaan dirinya yang sudah tidak
bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk bagaikan direndam
ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat di perut
dan tangannya.. Hatiku meruntun sayu.
Para doktor meninggalkan aku dan
isteri untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali
terakhirnya aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini kerana doktor telah
membuat keputusan, isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi
yang hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik
bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku perasan mataku kembali
berkaca.
Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangatku.
‘’Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka tak dengan baju yang
sayang belikan untuk Abang tu?’’ Pada ketika itu juga, aku tidak dapat
menjawab dengan perkataan tapi aku rangkul dirinya sambil menangis
teresak-esak seperti tiada lagi esok untuk kami bersama.
Aku tidak mampu
bersuara walaupun mengeluarkan sepatah kata. Tapi, dia mempunyai
kekuatan yang amat luar biasa. Walaupun dia ‘berpuasa’ , dia masih
gagah. Masih kuat untuk memulihkan semangatku yang semakin luntur..
‘’Abang.. Seandainya doktor memberi pilihan, siapakah yang Abang ingin
selamatkan, sayang atau anak kita..
Abang tolong jawab ‘’ Selamatkan
anak saya.. ‘’. Berilah anak kita peluang untuk merasai kebahagiaan
hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi..’’ Sekali lagi aku
menangis semahunya.
Aku tidak mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.
Aku tidak mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.
Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak
untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar Isteriku dengan lirik
mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital.
Aku berwudhuk. Solat 2
rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk
diriku lebih-lebih lagi.
Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama
ini. Aku menangis semahu-mahunya.. Sedari jam 4.30 petang aku menanti
penuh sabar di luar bilik pembedahan.
Aku dail, aku telefon nombor
keluarga terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku
pohon dan merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteriku yang sedang
bertarung nyawa melahirkan seorang khalifah penambah ummat Nabi
tercinta.
Mulutku tidak henti-henti menbacakan Hizbul Bahri. Zikir
berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah
Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.
1 jam berlalu. Mundar-mandirku
tidak mengeluhku untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh berdiri dari
tadi, tapi perasaan ingin tahu akan keadaan isteriku melenyapkan semua
keletihan itu.
Akhirnya penantian aku berakhir.. Seorang nurse menolak
troli tertutup.. incubator barangkali namanya.. dengan seorang bayi mata
bulat muka mirip anak Cina.
Oh! Rupa-rupanya, bukan isteri aku seorang
kat dalam. Ibu cina pun ada. ‘’Suami kepada Zulaikha’’ ‘’Suami kepada
Zulaikha’’ jerit nurse mencari ‘Yusuf’ Zulaikha. Orang ramai yang turut
sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara satu sama lain
termasuklah aku.
Tiba-tiba aku teringat. Akulah suami Zulaikha. Macam
manalah boleh lupa pulak time-time macam tu. Aisehhh.. Biasalah beb.
Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..
‘’Ya.. Saya kak. Saya
suami dia’’ ‘’Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang dan azankan
dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata apa?’’ Nak kata apa pulak nurse
ni. Alhamdulillah ke? Ke terima kasih nurse? Mana aku tahu. Dah la rasa
tak percaya pun ada yang anak cina yang aku sangka tadi tu rupanya anak
aku..
Boleh pulak dia suruh kata apa. Aduilaa.. Nurse pun. Mungkin nurse
tu perasan aku tengah blur, dia pun selak kain bedung anak aku bagi
menyatakan jantinanya. Oh.. Nurse nak suruh aku buat pengakuan yang anak
aku ni perempuan.
Baru aku faham. ‘’Perempuan nurse’’ kataku tersenyum
malu. Aku dakap anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua pipinya lalu aku
azan dan iqamatkan di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya
anak aku. Mata hitam dia bulat besar. Taknak tutup pulak tu.
Alhamdulillah. ‘’Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana keadaan
dia?’’ tanyaku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini. ‘’Isteri
encik selamat. Dia sedang dijahit. Kejap lagi dia keluar..’’ Tidak lama
selepas itu, Isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu
ya Allah.
Biarpun Kau mentaqdirkan dia bersalin secara Caesar, namun aku
bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi memberikan kesempatan
untuk aku berkasih-sayang dengannya.
Hanya pada Mu segala puji-pujian
layak kami berikan. Keluarnya isteri aku dari bilik pembedahan bukannya
dengan tangisan.
Malah, tiada setitis air pun yang aku perasan membasahi
matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan kepadaku.
Terharu. Sungguh terharu.
Aku kucup dahinya dan mengucapkan ‘’Terima
kasih Sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat
Abang’’.
P/S : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri kita sebaiknya.
Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah
kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada
kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri
tenangkanlah hati. Bila keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah
mereka dengan hikmah hasanah. Bukan dengan kekerasan yang bakal
mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang
bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya kan patahlah ia. Akan
tetapi andai dilentur dengan lemah lembut dan profesional, dia kan
menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal
selamanya.
Comments